Tuesday, July 07, 2009

..:: Hikmah Nabi dikatakan ummi ::..

Sumber : Utusan Malaysia

Rencana yang lalu mendapat teguran oleh mereka yang tetap mempertahankan bahawa Nabi Muhammad SAW seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Malah tidak sewajarnya dipolemikkan lagi. Sebaliknya wajib diimani sepenuhnya bahawa dengan dukungan banyak lagi ayat-ayat al-Quran malah catatan sejarah yang lain menunjukkan bahawa baginda tidak tahu membaca dan menulis.

Terutamanya apabila gambar-gambar tulisan tangan baginda seperti yang disiarkan pada keluaran itu dikatakan sebenarnya tulisan tangan milik para 'setiausaha' baginda iaitu sahabat-sahabat besar seperti Saidina Ali Abi Talib, Saad bin Abi Waqas dan Zaid bin Tsabit.

Baginda dikatakan hanya menurunkan cap mohor melalui cincin baginda sebelum surat-surat itu dikirim kepada pihak-pihak berkenaan.

Malah jika kita lebih terkehadapan sebagai bukti bahawa Nabi Muhammad tidak mempunyai kemahiran membaca dan menulis itu apabila membabitkan satu perjanjian bertulis.

Perjanjian itu ialah gencatan senjata atau lebih dikenali sebagai Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara Rasulullah dengan kaum musyrikin Mekah yang diwakili oleh Suhail ibn Amir, dikatakan merupakan tulis tangan oleh Ali bin Abi Talib, bukannya Rasulullah!

Rasulullah dikatakan hanya meletakkan cap mohor baginda bagi mengesahkan isi kandungan perjanjian itu.

Jadi tiada bukti yang menunjukkan bahawa baginda mempunyai kemahiran untuk membaca dan menulis!

Dalam hal penulisan perjanjian Hudaibiah ini walaupun benar ia ditulis oleh Ali namun ada pihak tetap pertahankan bahawa perkara ini tidak boleh menjadi bukti bahawa Nabi tidak tahu untuk menulis perjanjian.

Ini apabila perjanjian yang dimulakan dengan ayat: "Inilah perjanjian antara Muhammad Rasulullah dengan Suhail ibn Amir". Lalu diprotes atau dibantah oleh Suhail atas ayat tersebut dan mahukan agar 'Muhammad Rasulullah' itu diganti dengan 'Muhammad ibn Abdullah'.

Namun, Ali tidak mahu memadam perkataan Rasulullah itu, sehinggalah Nabi Muhammad sendiri yang memadamkan perkataan itu lalu baginda menulis sendiri menggantikan perkataan itu kepada nama bapanya, Abdullah sebagaimana yang diminta oleh Suhail itu.

Jadi ini menunjukkan baginda ada menulis dan untuk perjanjian sepenting itu jika baginda tidak membaca semula apa yang ditulis oleh Ali adakah baginda mahu meletakkan cap mohor baginda?

Tetapi bagaimana ayat 48 dari surah al-Ankabut yang ditujukan kepada Nabi Muhammad berikut ini dapat anda fahami: Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu: andai kata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari.

Sekali pandang ayat ini, sangat jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad memang tidak pernah membaca dan menulis.

Tetapi dikatakan juga sebenarnya ayat itu menjadi asas bukti sebaliknya, Nabi Muhammad hanyalah merupakan antara golongan ummi atau ummiyyuun seperti yang disebut sebelum ini. Iaitu kalangan Arab yang tidak mempunyai sebarang kitab tidak sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani yang mempunyai kitab Taurat dan Injil.

Hanya kerana mahu Nabi Muhammad terpelihara daripada tuduhan membaca dan menulis semula Taurat dan Injil untuk dijadikan versi al-Quran maka kerana itu baginda dikatakan seorang yang ummi.

Lalu apabila kita merujuk pula kepada surah al-Jumuah ayat 2: Dia yang membangkitkan pada kaum Arab (Ummiyyiin) seorang Rasul dari kalangan mereka, membacakan atas mereka ayat-ayat-Nya (al-Quran).

Jadi jelas menjadi bukti bahawa Nabi seorang yang ummi dari membaca dan menulis sebarang kitab Taurat dan Injil. Sehingga diturunkan kepada baginda, al-Quran itu yang merupakan 100 peratus kalam Allah. Sama sekali bukan hasil ciplak atau salinan Taurat dan Injil seperti tuduhan ahli kitab itu.

Bahkan ada yang menyebut adalah tidak sesuai Nabi Muhammad itu ummi sebagai buta huruf tetapi lebih tepat lagi ialah 'Buta Kitab' sebenarnya.

Ini kerana sebelum atau selepas turunnya al-Quran baginda bebas dari mengalami sebarang gejala buta huruf yang sebagaimana yang kita fahami sebelum ini.

Ditambah lagi bahawa kedua-dua kitab tersebut iaitu Kitab Taurat dan Injil ditulis dalam bahasa Hebrew atau Ibrani yang bukan menjadi bahasa pertuturan baginda.

Jadi bagaimana dikatakan baginda tahu membaca kitab-kitab berkenaan kecuali jika ditulis dalam bahasa ibunda baginda.

Namun hikmah dari polemik seperti ini sejajar dengan perjalanan masa di mana semakin berkembangnya ilmu pengetahuan dan al-Quran masih terbuka untuk dikaji terutama dari aspek keindahan bahasanya di samping isi kandungan kitab itu sendiri.

Ini sebagaimana pada dekad-dekad ini banyak sekali ilmu dan fakta ilmiah dan saintifik terutama mengenai fenomena kejadian dan kehidupan dalam al-Quran yang baru dapat ditemui dan difahami sekarang. Iaitu setelah semakin berkembangnya pemikiran dan penyelidikan yang prolifik itu sendiri.

Maka kalau kita kembali semula kepada peristiwa baginda berhadapan dengan malaikat Jibrail di Gua Hira' dan diperintahnya baginda untuk membaca, jadi yang boleh kita fahamkan bahawa baginda tidak tahu apa yang hendak dibacakan, bukannya baginda seorang yang langsung tidak tahu membaca! Wallahu 'alam.

Begitu pun Nabi Muhammad tetap seorang yang genius kerana baginda pemecah bagi segala dan apa juga masalah dan bagaimana boleh dikatakan seorang yang buta huruf itu seorang yang genius. Maka bersandarlah kita kepada lebih banyak kajian dan bacaan!

Namun persoalan mengenai wahyu lebih mendapat perhatian dan bidang kajian mengenainya begitu meluas dan sehingga kini pun masih begitu dibahaskan. Ini kerana dalam terlalu mengkaji dan mendalami terkadang ada kalangan saudara sesama Islam kita yang mengaku menerima wahyu yang membawa pelbagai khabar berita dan perintah baru dari Allah.


3 comments:

faizalMS said...

salamun'alaik.mntk izin copy entry nie blh x?

nkniessa said...

copy lah dik.. akak pun copy gak.. dr utusan... sama-sama kita berkongsi ilmu.

faizalMS said...

syukran,kak..;-p